BEKAS pemimpin UMNO yang dipecat, Tan Sri Annuar Musa mengunjungi Tun Dr Mahathir Mohamad di kediaman bekas Perdana Menteri itu pada Ahad.
Kata Annuar, perbincangan membabitkan soal masa depan orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia serta hal ehwal semasa politik negara.
“Sejak dulu Tun begitu passionate bila bercakap tentang orang Melayu.
“Walaupun saya dan Tun sering berbeza pendapat dan haluan politik,namun saya amat kagumi kepimpinan Tun yg begitu banyak membawa impak dan amat berjasa pada Negara.
“Kebijaksanaannya serta ketajaman pemikiran nya kekal hingga sekarang,” katanya melalui kiriman di Facebook.
Annuar yang juga Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh turut memaklumkan, beliau dan Dr Mahathir sepakat untuk terus berikhtiar mengukuhkan muafakat dan perpaduan orang Melayu serta Bumiputera.
“Selain itu amatlah penting kita menyuburkan Muafakat bagi mengurus negara kita yang berbilang bangsa dan agama ini dengan baik,sapertimana Tun pernah lakukan sekian lama sebagai Perdana Menteri.
“Saya doakan Tun berdua sentiasa sihat dan dirahmati Allah sepanjang masa,” ujarnya. – Edisi 9

