31.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 11, 2024

Senaraikan Hari Songkran dalam kalendar pelancongan Kedah – Mahdzir

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

UMNO Kedah menggesa kerajaan negeri itu memasukkan Hari Songkran yang disambut masyarakat Siam ke dalam kalendar tahunan pelancongan Kedah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sambutan Hari Songkran sememangnya mempunyai keunikan tersendiri yang boleh dijadikan daya tarikan pelancong.

“Kedah di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) mengiktiraf sumbangan dan sokongan masyarakat Siam dalam kemajuan, pembangunan serta keamanan negeri khasnya dan Malaysia amnya.

“Justeru, kami menggesa kerajaan negeri melihat kepada kepentingan sumbangan masyarakat Siam di negeri ini dari segi kepentingan eko-pelancongan menerusi budaya dan adat resam mereka iaitu sambutan Hari Songkran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Kedah mempunyai jumlah penduduk masyarakat Siam paling ramai di negara ini iaitu lebih 40 ribu orang.

Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan Tahun Baru bagi masyarakat Siam khususnya di Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.

Advertisements

Sementara itu jelas Mahdzir, sumbangan masyarakat Siam di negeri itu tidak boleh dipinggirkan sama sekali walaupun jumlahnya minoriti berbanding kaum lain.

Katanya, masyarakat Siam yang berasimilasi di Kedah sejak sekian lama telah menjadikan negeri itu sangat unik khususnya menerusi pelbagai acara kebudayaan termasuk sambutan Hari Songkran.

Selain itu kata Mahdzir, sikap toleransi, muafakat dan kerjasama yang diamalkan masyarakat Siam telah mewujudkan jalinan kesatuan, perpaduan dan keamanan di negeri itu.

“Saya juga melihat sambutan Hari Songkran ini bukan sahaja boleh dijadikan acara tarikan pelancong di peringkat negeri Kedah, malah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) juga boleh mempromosikannya.

“Thailand meraih keuntungan sektor pelancongannya setiap tahun menerusi acara Songkran sehingga menjadi acara yang ditunggu-tunggu pelancong asing untuk berkunjung ke negara itu,” ujarnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Nambikkai seru pengundi KKB undi calon kerajaan Perpaduan

PERTUBUHAN Nambikkai Malaysia menyeru pengundi di Kuala Kubu Baharu agar menyokong serta mengundi calon daripada kerajaan Perpaduan pada Pilihan...

Lagi Artikel Berkaitan