32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

TM fokus tingkat produktiviti bagi kekal berdaya saing

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

TELEKOM Malaysia Bhd. (TM) akan menumpukan kepada kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi disebabkan jangkaan 2023 yang lebih mencabar ekoran kelembapan ekonomi global dan kos menjalankan perniagaan yang mungkin lebih tinggi.

Pengerusinya, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim berkata, kumpulan itu menyedari keperluan untuk berinovasi secara berterusan bagi terus berdaya saing dalam menghadapi cabaran tersebut.

“Keupayaan kami untuk berkembang dan menyesuaikan diri memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan kami setakat ini dan kami kekal komited meneroka peluang baharu dan terus berada di hadapan,” katanya dalam Laporan Tahunan Bersepadu TM 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Mohammed Azlan juga berkata, syarikat kekal di landasan yang betul selaras dengan agenda pembinaan negara, terutamanya dalam memacu visi Digital Malaysia, memperkasakan komuniti, perniagaan dan kerajaan.

“Kami percaya kejayaan kami sebagai sebuah syarikat sangat berkait rapat dengan kejayaan negara dan terus komited untuk memainkan peranan kami dalam membina Malaysia yang lebih kukuh, inklusif dan makmur,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Azlan berkata, perkembangan kawal selia akan memberi impak besar kepada perniagaannya pada tahun-tahun akan datang.

“Kami berharap dapat melihat pendekatan seimbang yang mengelakkan akibat yang tidak diingini sambil terus menyampaikan kadar caj yang lebih murah dan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Dari segi persaingan, Mohammed Azlan berkata, kumpulan itu menjangkakan perubahan yang berpotensi dalam senario 5G serta cabaran baharu yang berkaitan dengan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses terkini.

“Walau bagaimanapun, kami melihat potensi pertumbuhan yang kukuh dalam arena penumpuan mudah alih tetap dan pendigitalan yang akan menjadi penting untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta perniagaan pada 2023 dan seterusnya.

“Kami juga menyedari terdapat bidang-bidang lain yang patut diceburi dan dibangunkan, seperti keselamatan siber, rangkaian penyampaian kandungan dan pusat data, yang mana kami akan terus melabur untuknya sebagai sebahagian daripada peluang pertumbuhan bagi kami,” tambahnya. – BERNAMA

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan