25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Serangan rejim Zionis: Malaysia perlu lantang bersuara

Kerajaan Malaysia perlu terus melakukan segala yang upaya untuk menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui saluran PBB ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA perlu lebih lantang dan berperanan dalam mendesak supaya tindakan segera diambil untuk menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin yang telah secara berterusan dizalimi dan dinafikan hak mereka oleh rejim Zionis.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai anggota UNHRC bagi sesi 2022-2024, Malaysia tidak boleh berdiam diri.

“Kerajaan Malaysia perlu terus melakukan segala yang upaya untuk menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui saluran PBB ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, PN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan keji oleh tentera zionis Israel yang telah beberapa kali menceroboh perkarangan Haram Al-Sharif dan melakukan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap jemaah awam Palestin di Masjid Al-Aqsa semenjak beberapa hari lalu.

“Tindakan tentera zionis Israel tersebut yang terus dilakukan di saat ini merupakan perbuatan keji dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi kerana dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Perbuatan biadab rejim zionis tersebut juga telah dilakukan hanya sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan usul A/HRC/52/L.32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin,”katanya.

Advertisements

Beliau berkata, serangan keterlaluan dan provokatif ini memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Timur tengah dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai.

“Laporan media menyatakan bahawa keganasan yang sama berlaku pada bulan Ramadan pada tahun 2021 dan 2022.

“Peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Ketegangan antara Israel dan Palestin telah mencapai titik didih sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Adalah wajar bahawa PBB mengecam serangan itu, meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan