Wednesday, July 22, 2026

Rumah terbuka di setiap daerah lebih jimat – Amirudin

Mesti Baca

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan, mengadakan Rumah Terbuka Negeri di sembilan daerah di negeri ini lebih menjimatkan berbanding secara satu lokaliti.

Beliau berkata, ini berdasarkan rumah terbuka negeri yang dilangsungkan di sembilan daerah di Selangor tahun lalu yang hanya melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM900,000.

Jumlah tersebut, katanya, lebih rendah berbanding lebih RM1 juta yang dibelanjakan setiap tahun bagi mengadakan majlis rumah terbuka negeri pada 2016 hingga 2019.

“Tahun-tahun sebelum ini perbelanjaan lebih RM1 juta bagi rumah terbuka negeri di tahun 2016, 2017, 2018 dan 2019 setiap tahun.

“Namun tahun lalu perbelanjaan negeri hanya RM900,000 dengan kadar RM100,000 setiap daerah,” katanya menerusi ciapan di twitternya hari ini.

Beliau mengulas kritikan pihak pembangkang berhubung majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diadakan di enam negeri.

Mereka mendakwa langkah kerajaan Pusat mengadakan rumah terbuka di Kedah, Kelantan dan Terengganu selain turut diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sebagai pembaziran.

Amirudin malahan berkata, pelaksanaan rumah terbuka di setiap daerah juga membuka peluang agensi di peringkat daerah seperti Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan melaksanakan rumah terbuka secara bersama.

Katanya, selain mengoptimumkan kos penganjuran, ia ternyata lebih efektif dan mendasar di mana seluruh rakyat Selangor dapat merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri di daerah masing-masimg tanpa perlu perjalanan yang jauh ke lokasi utama sahaja.

Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai hebahan inisiatif kerajaan negeri Selangor melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang turut tersedia untuk dimohon dan dimanfaatkan khalayak.

“Program ini turut membantu para peniaga dan usahawan makanan di setiap daerah untuk sama-sama menyemarak dan memeriahkan sambutan Aidilfitri kerajaan negeri di daerah masing-masing,” katanya.

Mengenai penganjuran tahun ini, Amirudin berkata, program dikenali Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri itu akan bermula Jumaat, 28 April 2023 di Daerah Sepang dan akan berakhir di Gombak pada hari Ahad 14 Mei. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan