ORANG ramai disarankan supaya mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri.
Sejajar dengan strategi kelestarian Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap alam sekitar, syarikat itu turut berkongsi beberapa tips yang boleh diguna pakai pengguna.
Antara saranan tersebut adalah menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan menanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.
“Semua soket berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan,”kata TNB dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pengguna juga perlu memastikan peralatan elektrik dipasang dalam keadaan baik dan ‘motor’ dalam peralatan elektrik bermotor berjalan lancar.
Jelasnya, pengguna yang mahu menyalakan lampu di rumah perlu mempertimbangkan penggunaan alat pengukur masa supaya tidak menyala sehingga 24 jam sehari.
“Buka gulungan wayar sambungan tambahan (extension wire) sepenuhnya bagi mengelakkan ia daripada menjadi terlalu panas sepanjang penggunaannya,”katanya.
Dalam masa sama, TNB turut menasihatkan pengguna supaya menguji terlebih dahulu Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) di kediaman masing-masing.
Pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik. – Edisi 9