KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) membantu 10 guru bersama 48 ahli keluarga mereka mendapatkan tiket penerbangan untuk pulang berhari raya di Sabah dan Sarawak.
KPM menerusi kenyataan berkata, kementerian itu bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta syarikat penerbangan Air Asia membantu menerusi Waran Perjalanan Udara Awam.
“Kesemua 10 guru dan 48 orang ahli keluarga masing-masing telah memulakan penerbangan menaiki penerbangan Air Asia seawal 17 April lalu dengan menggunakan Waran Perjalanan Udara Awam yang layak diterima.
“Umum mengetahui semua penjawat awam yang layak menerima Waran Perjalanan Udara Awam masih menerima manfaat seumpamanya,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, KPM meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang kononnya terdapat tiket penerbangan percuma semasa Aidilfitri.
“Justeru, hebahan palsu berkenaan tiket penerbangan percuma pada musim perayaan seperti yang diuar-uarkan pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial adalah berniat untuk mengelirukan dan sedang dalam siasatan polis.
“KPM sentiasa komited untuk terus memastikan kesejahteraan dan kebajikan guru sentiasa dipelihara,” ujarnya. – Edisi 9