KETUA Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang, Senator Datuk Noraini Idris dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO Sabah yang baharu bagi sesi 2023-2026.
Noraini akan dibantu oleh Datuk Rosni Sohar yang dilantik sebagai setiausaha, Datin Maizatul Akmam Alawi (bendahari) dan Datuk Rosni Zahari (ketua penerangan).
Menerusi kenyataan Noraini berkata, tanggungjawab yang diamanahkan sangat besar dan memerlukan sokongan daripada semua pihak khususnya Wanita UMNO bahagian di Sabah.
Katanya, dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung beberapa tahun lagi, cabaran besar menanti mereka bagi memastikan parti keramat itu kekal relevan di mata rakyat.
“Saya tahu tanggungjawab ini bukan mudah namun dengan adanya kerjasama dan sokongan daripada ahli khususnya Wanita UMNO Sabah, saya yakin amanah yang diberikan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Terlalu banyak cabaran bakal dilalui bagi memastikan UMNO kekal relevan dan diterima oleh rakyat Sabah walaupun pelbagai persepsi negatif mula dimainkan oleh pihak tertentu di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pelantikan beliau diumumkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Malaysia kali pertama semalam. – Edisi 9