MELAKA menerima pelaburan perniagaan perkapalan di Jeti Tanjung Bruas, membabitkan perniagaan membaiki dan membina kapal dengan nilai projek dijangka lebih RM2 bilion.
Ini hasil usahasama di antara Leaptec Engineering Sdn Bhd (Leaptec), anak syarikat LBS Bina Group Berhad dan Desan Deniz Ins. San. A.S, syarikat Turkiye bagi membangunkan perniagaan tersebut.
Terdahulu, satu menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Leaptec Engineering Sdn Bhd (Leaptec), anak syarikat LBS Bina Group Berhad dan Desan Deniz Ins. San. A.S, syarikat Turkiye telah berlangsung di ibu pejabat Desan di Istanbul, Turkiye sambil disaksilan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Leaptec diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, manakala Desan diwakili Pengerusinya, Cenk Ismail Kaptanoglu.
Hadir sama menyaksikan MoU ini ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec; Datuk Anis Hisham Abd Aziz, Pengarah Desan, Adil Bahadir Demirag dan Pemilik Desan Deniz Insaat San A.S. Sadan Kaptanoglu.
Menerusi MoU itu, kedua-dua syarikat bakal bekerjasama untuk meneroka peluang membangunkan perniagaan perkapalan di Jeti Tanjung Bruas, Melaka. Ia membabitkan perniagaan membaiki dan membina kapal dengan nilai projek dijangka lebih RM2 bilion.
MoU yang ditandatangani itu berkuat kuasa untuk tempoh 12 bulan bermula hari ini.
Ab Rauf berkata, bagi pihak kerajaan negeri Melaka, beliau mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu ke Negeri Melaka.
“Menerusi kerjasama terbaharu ini, kedua-dua pihak akan membangunkan kawasan di tanah tebus guna seluas 1,200 ekar di Tanjung Bruas.
“Saya yakin dan percaya, menerusi pelaburan baharu ini akan merancakkan dan sebagai pemangkin bagi projek pembangunan bersepadu di Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ),”katanya. – Edisi 9