26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Malaysia tidak terlepas daripada risiko gempa bumi

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mendedahkan Malaysia tidak bebas sepenuhnya daripada risiko gempa bumi.

NRECC menerusi kenyataan berkata, perkara itu susulan kesan gempa bumi di Malaysia adalah berpunca gempa bumi dari jarak jauh dan tempatan.

Katanya, hal itu dilihat apabila kejadian gempa bumi jarak jauh di Semenanjung Malaysia berpunca dari sepanjang jalur Subduksi Plat India-Australia dan Plat Eurasia manakala di Sabah dan Sarawak adalah dari sepanjang jalur Subduksi Plat Filipina dan Plat Eurasia.

“Jalur ini merupakan sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik. Gegaran gempa bumi besar yang berpunca dari Plat India-Australia, Plat Filipina dan Plat Eurasia boleh dirasai di pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan oleh gempa bumi yang berlaku di Sumatera, Indonesia,” katanya hari ini.

Menurut NRECC, kesan gempa bumi yang berlaku di Sumatera dan pergerakan plet tektonik Plat India-Australia boleh menyebabkan pengaktifan sesar-sesar kuno yang terdapat di Semenanjung dan menyebabkan kejadian gempa bumi.

Katanya, magnitud gempa bumi boleh mencapai magnitud enam bergantung kepada saiz garis sesar kuno yang diaktifkan.

“Gegaran gempa bumi kuat yang berpusat di Malaysia yang pernah berlaku adalah dengan magnitud 6.0 hingga 6.3 yang berlaku di Sabah pada 1923, 1958, 1976 dan 2015. 

Advertisements

“Rekod gegaran paling kuat di Sarawak adalah magnitud 5.3 yang berlaku pada tahun 1994,” katanya.

Untuk rekod, Semenanjung pernah mengalami beberapa gegaran dengan pusat gempa bumi berasal dari gempa tempatan di Bukit Tinggi, Pahang, Empangan Kenyir Terengganu, Kuala Pilah Negeri Sembilan, Manjung dan Temenggor di Perak dengan julat magnitud antara 1.6 hingga 4.6 yang berlaku pada tahun 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013.

Bagi Sabah dan Sarawak, kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan kombinasi pengaktifan sesar-sesar kuno akibat himpitan pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia dan juga disebabkan ole pergerakan sesar aktif tempatan.

NRECC berkata, sebagai langkah mitigasi untuk mengurangkan risiko kerosakan akibat gegaran, kementerian itu melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada 2019.

Katanya, kandungannya turut memberi fokus reka bentuk bangunan yang tahan gegaran gempa perlu diaplikasi dalam pembinaan bangunan di Malaysia dengan mencirikan zon-zon bahaya bencana seismik berdasarkan Peak Ground Acceleration (PGA).

“Kementerian sentiasa memastikan pemakluman mengenai risiko gempa bumi dari semasa ke semasa melalui media sosial dan secara berkala di media.

“Orang ramai perlu cakna dengan arahan yang dikeluarkan untuk mengambil langkah mitigasi sekiranya berlaku risiko bencana gempa bumi,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan