JUARA dunia, Argentina kembali ke puncak tertinggi ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) buat kali pertama dalam tempoh enam tahun.
Argentina yang memenangi Piala Dunia FIFA di Qatar selepas menundukkan Perancis di final lalu melonjak ke kedudukan teratas selepas menundukkan Panama 2-0 dan Curacao 7-0 dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Dalam aksi tersebut turut menyaksikan kapten, Lionel Messi mencipta dua sejarah, menjaringkan gol ke-800 sepanjang kariernya ketika menang ke atas Panama dan meledak gol ke-100 untuk negara apabila mencipta hatrik menentang Curacao.
Untuk rekod, Argentina pernah jatuh ke ranking ke-12 dunia pada 2018 selepas kempen yang buruk dilalui mereka pada Piala Dunia FIFA di Rusia pada tahun tersebut.
Sementara itu, Perancis melonjak satu anak tangga ke kedudukan kedua selepas merekodkan kemenangan besar 4-0 ke atas Belanda dan menang tipis 1-0 ke atas Ireland dalam aksi kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Brazil yang tewas 1-0 kepada Maghribi dalam aksi persahabatan lalu turun ke tangga ketiga selepas ditolak 6.56 mata sementara Belgium dan England masing-masing di kedudukan keempat dan kelima dunia
Central African Republic pula menjadi pasukan terbanyak naik dalam ranking FIFA apabila naik 10 anak tangga ke kedudukan ke-122. – Edisi 9