31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Amanah hina kebijaksanaan, budi bicara Agong – Puad

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AMANAH didakwa melakukan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong apabila merayu Lembaga Pengampunan supaya menolak permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata parti itu secara jelas mempersoal kebijaksanaan budi bicara Yang di-Pertuan Agong kerana membuat desakan berkenaan.

“UMNO akur proses perundangan. UMNO tidak membising pun bila Lembaga Pengampunan tidak bincang kes Najib dua hari lalu.

“UMNO memohon secara tertib. Masalahnya Amanah, kerana mendesak Agong menolak pengampunan Najib. UMNO hanya menyokong sahaja.

“Maka Amanah yang tidak tertib. Amanah yang hina budi bicara Agong. (Malah) Amanah secara jelas mempersoal kebijaksanaan Agong kerana membuat desakan itu,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, Mohd Puad berkata, tindakan Amanah itu jelas membuktikan parti itu hanya layak menjadi kawan politik dan bukan sahabat perjuangan.

“Parti yang dipimpin oleh (Datuk Seri) Mohamad Sabu lebih wajar dipanggil sebagai parti PAN bukan parti Amanah. PAN (Amanah) hanya layak jadi kawan politik bukan sahabat perjuangan.

Advertisements

“Sebelum ini Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad mendesak agar Agong menolak pengampunan Najib. Itu pendirian rasmi Amanah sebab tiada penafian oleh Mohamad Sabu.

“Apatah lagi (Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri) Salahuddin Ayub mahu penyokong Najib terbuka dengan keputusan Lembaga Pengampunan. UMNO tidak ada masalah pun.

“Sebab itu memang susah bersahabat dengan Amanah. Hanya boleh jadi kawan. Kawan yang tidak beri jaminan Kerajaan Perpaduan boleh kekal. ‘Kawan makan kawan’,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Khalid berkata, parti itu berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

Selain itu, Salahuddin turut meminta semua pihak termasuk Najib agar bertenang serta menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan Lembaga Pengampunan.

Menurut Salahuddin, ini kerana setiap persidangan lembaga itu adalah mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan