JAGUH beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pulang awal selepas tersingkir seawal pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.
Ini selepas pasangan nombor dua dunia itu tewas menerusi rubber set kepada pasangan nombor 14 dunia dari Taiwa, Lee Yang-Wang Chi Lin di Dewan Tertutup Sheikh Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr di Dubai.
Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi bertenaga di set pertama apabila mendominasi perlawanan dengan menamatkan saingan dengan kemenangan 21-14.
Namun, dua set seterusnya menyaksikan beregu negara gagal menghalang kebangkitan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu apabila tewas 16-21 dan 19-21.
Sementara itu, satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas menang ke atas pasangan Jepun, Ayato Endo-Yuta Takei.
Yew Sin-Ee Yi tewas set pertama 10-21 namun bangkit memenangi set kedua 21-15 sebelum begelut di set ketiga dan menang 22-20.
Cabaran getir menanti pasangan beregu lelaki negara itu apabila dijadualkan bertemu pasangan nombor satu dunia dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di peringkat suku akhir hari ini. – Edisi 9