31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

31,000 liter diesel bersubsidi diseleweng dirampas – KPDN

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan 31,000 liter diesel bersubsidi dengan nilai rampasan RM579,050 dalam dua serbuan berasingan Ops Tiris kelmarin.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dibuat secara berasingan di dua premis tanpa nama di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang, Sg. Petani, Kedah yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi.

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bermula pukul 8 pagi dan 10.30 malam itu adalah hasil risikan dilakukan selama lebih sebulan.

 “Serbuan di lokasi pertama mendapati tiada individu atau pekerja ditemui dan hasil pemeriksaan lanjut, sejumlah 3,000 liter minyak diesel ditemukan di dalam sebuah tangki dalam premis bersama beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

 “Minyak diesel serta beberapa peralatan lain seperti pam bermotor, hos penyambung, flow meter dan beberapa dokumen perniagaan seperti resit dan buku rekod perniagaan telah disita untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan di lokasi pertama serbuan ini dianggarkan berjumlah RM34,450.00,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ops Tiris yang bermula 1 Mac sehingga 9 April lalu telah menyaksikan sebanyak 4,054 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 110 kes telah dikesan yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.56 juta. 

Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 1.60 juta liter minyak diesel telah dirampas.

Advertisements

Mengulas lanjut, Azman berkata, serbuan di lokasi kedua menemukan seramai enam individu yang sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tangki lain di dalam premis terbabit. 

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah menggunakan lori tangki membawa bahan kimia untuk mengaburi pihak berkuasa dan orang awam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu telah menemukan sejumlah 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Minyak diesel, dua buah lori, pam bermotor, paip penyambung, telefon bimbit, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemukan di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. 

“Nilai keseluruhan rampasan di lokasi serbuan kedua ini dianggarkan berjumlah RM544,600.00,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kesemua enam individu terbabit yang tiga daripadanya merupakan warganegara tempatan berumur lingkungan 24 hingga 49 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan,” ujarnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan