PEMILIHAN UMNO bagi sesi 2023/2026 memperlihatkan perubahan di tampuk kepimpinan sayap Pemuda dan Puteri sementara Ahli Parlimen Parit Sulung, Datuk Noraini Ahmad kekal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023, Tan Sri Shahrir Samad berkata, Noraini kekal menerajui Pergerakan Wanita UMNO apabila memperoleh sebanyak 112 undi daripada 188 bahagian yang mengundi.
Katanya, Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim pula kekal sebagai Naib Ketua Wanita UMNO apabila memperoleh 123 undi bahagian.
“Seperti kita sedia maklum, jawatan bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO telah awal-awal ditentukan dengan kemenangan Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mendapat 122 undi daripada 187 bahagian yang mengundi. Bagi Naib Ketua, Mohd. Hairi Mat Shah memperolehi undi 87 bahagian, menewaskan pencabarnya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisam hanya dengan tiga undi.
“Bagi Puteri pula, ketuanya adalah Along atau Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi dengan 89 undi bahagian sementara Siti Sokleha Siti Sokhleha Nordin mendapat 115 untuk memenangi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, proses penilaian menggunakan sistem undi elektoral dan popular diperkenalkan bagi menentukan pemenang dalam pemilihan kali ini.
“Kita mempunyai sistem undi elektoral maknanya undi jumlah bahagian yang menyokong, satu bahagian satu undi. Dalam pada itu, kita ada juga rekod undi popular.
“Kita akan lihat kesan bagi undi popular untuk menentukan antara dua calon atau tiga calon. Umpanya Pemuda. Di tempat ke 20 dan 21, dia dapat sama banyak undi elektoralnya 71 bahagian. Tetapi dari segi undi popularnya pula, 10,527 nombor 21 dapat 8, 735. Jadi, walaupun jumlah bahagian sama tetapi dari segi undi popular ada perbezaanya. Itu yang menentukan tempat,” katanya. – Edisi 9

