CALON Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Khaidirah Abu Zahar atau Dira bertekad untuk terus bersama dalam sayap parti itu biarpun tewas dalam pemilihan Sabtu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim itu berkata, beliau percaya setiap perwakilan mahukan yang terbaik untuk sayap Puteri khususnya dan UMNO umumnya.
Biarpun tewas, beliau tetap meluahkan kesyukuran dan berlapang dada dengan keputusan para perwakilan Puteri UMNO.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh perwakilan khususnya para perwakilan yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa Sinar Baharu Puteri.
“Kalian menjadi denyut nadi Puteri untuk saya terus berkhidmat.
“Perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara akan sentiasa diteruskan dalam segenap ruang yang ada, Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Dalam pemilihan Puteri UMNO itu, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menewaskan lima calon iaitu Dira, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin, Masliha Harun, Fadwah Anuwar dan Nurul Hazwani Haslan.
Mengambil positif daripada keputusan tersebut, Dira berkata, beliau percaya pelbagai pembaharuan terbaik perlu dilakukan dalam memperkasa sayap bongsu parti keramat itu.
“Dengan kepimpinan baharu Pergerakan Puteri UMNO, banyak yang perlu dilakukan dalam mengembalikan sokongan orang muda kepada parti, membawa agenda wanita muda dan meletakkan sayap ini berada pada tahap lebih tinggi,” katanya. – Edisi 9