DATUK Seri Shahaniza Shamsuddin mencatatkan rekod tersendiri apabila tersenarai 10 kelompok tertinggi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam pemilihan parti itu yang berlangsung semalam.
Berdasarkan keputusan akhir yang diterima, beliau yang mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran itu pada pemilihan kali ini menduduki tangga kelapan, sekali gus menjadi calon wanita yang memperoleh undian tertinggi.
“Terima kasih kepada lebih 180,000 perwakilan seluruh negara. Terima kasih kepada sahabat yg tidak kenal erti penat dan lelah membantu. Terima kasih kepada perwakilan UMNO Bahagian Maran kerana masih memberi kepercayaan kepada saya.
“Tahniah kepada yang telah menawarkan untuk bertanding kerana dapat melalui proses pemilihan dengan penuh kematangan. Menang atau kalah itu adat pertandingan. Apa yang penting ialah kita masih dalam rumpun keluarga yang sama,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Selain Shahaniza, calon wanita lain yang membarisi ahli MKT bagi penggal 2023-2026 ialah bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan (12) dan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin (23).
Shahaniza turut menyeru agar semua ahli dan pemimpin parti untuk bersama-sama Presiden dan Timbalan Presiden ke hadapan bagi mengukuhkan parti.
Pada Pemilihan UMNO 2023 ini seramai 95 calon menawarkan diri bertanding bagi jawatan MKT di mana tujuh calon adalah wanita. – Edisi 9