RAKYAT kini boleh menyemak harga barangan runcit di lokaliti tertentu dengan menggunakan aplikasi penyemakan harga barangan KitaJaga mulai hari ini.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, aplikasi terbabit dibangunkan dengan kerjasama organisasi KitaJaga menggunakan data terbuka di laman web OpenDOSM.
Beliau berkata, Kementerian Ekonomi dan agensi-agensi seperti DOSM akan terus bekerjasama selepas ini dengan platform e-dagang lain untuk mengembangkan potensi pemantauan harga supaya rakyat boleh biasakan diri dengan proses membandingkan harga dan membuat pilihan mengikut data harga menyeluruh.
“Sebenarnya data harga ini ada lama, tapi tidak digunakan meluas. Sekarang data harga yang ada platform pertama digunakan KitaJaga,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Indeks Harga Pengguna (IHP) di Putrajaya hari ini.
Ujar Rafizi lagi, aplikasi tersebut mampu mempamerkan harga harian untuk setiap barangan asas.
“Konsep menerusi inisiatif itu bagi membolehkan rakyat membeli dengan bijak menerusi perbandingan harga menggunakan telefon bimbit,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Ekonomi juga akan bekerjasama dengan pihak perniagaan e-dagang untuk mengembangkan potensi pemantauan harga, supaya rakyat akan membiasakan diri dengan proses perbandingan dan pilihan mengikut data harga yang menyeluruh.
“Kita juga dalam rundingan platform lain turut sama membina ciri-ciri sebegini membolehkan orang ramai mengetahui paras harga di kawasan masing-masing,” jelasnya lagi.
Rafizi menambah, aplikasi tersebut tidak bermaksud rakyat harus hanya membeli barangan yang murah malah ia memberi penanda aras kepada pembelian di samping memupuk minda dipacu data dalam kalangan masyarakat. – Edisi 9