29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Segera reformasikan SPRM, Jabatan Peguam Negara

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Menurut gabungan sivil itu, gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dengan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya itu diteliti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) memerlukan proses reformasi terhadap dua institusi itu disegerakan.

“Perdana Menteri menyebut bahawa beliau ‘tidak ada bantahan’ untuk mereformasi proses pelantikan – BERSIH, IDEAS, dan Transparency International-Malaysia antara badan yang mencadangkan mekanisme yang terperinci. 

“Kami memahami bahawa sebarang mekanisme reformasi perlu melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan diteliti oleh JPKP, serta berharap agar perkara ini dilakukan dengan telus dan melibatkan penyertaan pertubuhan masyarakat sivil,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Dalam kenyataan sama, Bersih menyambut baik persetujuan Perdana Menteri bahawa Jabatan Peguam Negara perlu dipisahkan daripada Pendakwa Raya.

“Kami juga mengalu-alukan ‘persetujuan’ daripada Perdana Menteri bahawa Jabatan Peguam Negara perlu dipisahkan daripada pendakwa raya.

“Pemisahan ini serta reformasi proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, perlu dipercepatkan untuk mengukuhkan autonomi institusi dan menyingkirkan persepsi ‘pendakwaan terpilih’ yang dikenakan kepada mantan perdana menteri serta ahli parlimen pembangkang,” ujarnya.

BERSIH turut memuji usaha Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk memperkasakan Parlimen, terutamanya bagi mencadangkan JPKP untuk pelantikan jawatan utama dalam agensi kerajaan seperti SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan