Monday, June 15, 2026

Sasar 100,000 rakyat rasai manfaat IPR – Rafizi

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Ekonomi menyasarkan seramai 100,000 peserta dari isi rumah miskin tegar dan B40 mendapat manfaat dari Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, IPR memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan dan meningkatkan pendapatan rakyat melalui inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan penyedia perkhidmatan.

“Saya menyeru rakan-rakan yang mengetahui sesiapa yang memerlukan inisiatif ini untuk sama-sama membawa mereka ke platform IPR ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Ujar Rafizi lagi, kementeriannya akan berhubung lanjut dengan pemohon untuk pemakluman syarat-syarat lain yang berkaitan dan kelulusan yang selanjutnya.

Menjelaskan lebih lanjut lagi, Rafizi berkata, komponen kedua pelaksanaan program IPR ialah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN).

“Di bawah INSAN, kita ingin menghasilkan makanan siap untuk sarapan dan makanan tengah hari pada harga serendah RM2 dengan menggunakan kaedah mesin layan diri (vending machine).

“INSAN boleh dijayakan kerana peserta tidak lagi dibebankan dengan sewaan gerai, utiliti dan pekerja asing,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan akan menanggung bayaran sewa mesin selama 24 bulan, memberikan latihan serta memilih lokasi yang menjadi tumpuan.

“Selain kerajaan, peserta turut akan dibantu oleh Koperasi Basmi Miskin Tegar (KOBMIT) selain bimbingan berterusan daripada pembimbing komuniti.

Menurut beliau, sasaran INSAN jelas iaitu menyelesaikan masalah ekonomi harian dengan penjualan harga makanan siap pada harga rendah dan memberikan peluang kepada golongan B40 dan miskin tegar menjana pendapatan.

Sehubungan itu kepada mereka yang layak dan ingin menjana pendapatan boleh memohon dan berdaftar bagi IPR di link ini: https://ipr.epu.gov.my/

-EDISI9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan