26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

ROS terima resolusi PAU, 2 jawatan kekal tidak dipertanding

Mesti Baca

PENDAFTAR Pertubuhan (ROS) telah menerima resolusi UMNO bahawa tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan kali ini.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi satu surat yang diterima UMNO hari ini.

Beliau berkata, ROS sudah meluluskn resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

“Surat daripada KDN yang bertarikh semalam itu mengesahkan RoS sudah menerima usul yang diluluskan PAU baru-baru ini adalah sah.

“Susulan surat yang dikeluarkan itu, hanya jawatan Naib Presiden sehingga ke ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan jawatan pada peringkat sayap saja yang akan dipertandingkan.

“Jadi, bertandinglah dengan baik. Insya-Allah saya akan terus pergi ke setiap negeri sebagai komitmen untuk bersama calon yang bertanding,” katanya berucap pada Majlis Memperkenalkan Calon UMNO Pulau Pinang di Georgetown, malam ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Advertisements

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada ROS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menggesa ROS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti itu pada 18 Mac ini.

Ini bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding bagi merebut dua jawatan tertinggi parti itu, termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi perlembagaannya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berharap semua calon akan bertanding secara adil dan beretika tanpa mengeluarkan kenyataan yang dikhuatiri boleh menggugat perpaduan dalam UMNO berdasarkan peraturan sedia ada.

“Walaupun dua jawatan teratas parti tidak dipertandingkan, saya akan terus turun ke setiap negeri untuk majlis pengenalan calon yang bertanding dalam parti,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan