AHLI Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan mempertahankan lawatan rasmi Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi terhadap segala dakwaan yang dilontarkan dari pihak pembangkang.
Kata Sani, dalam sesebuah lawatan rasmi pemimpin negara, terdapat dua matlamat yang diharapkan rakyat dapat dicapai buat negara.
Matlamat itu, pertama katanya rakyat berharap ada pelaburan yang dibawa masuk sekaligus mencipta peluang pekerjaan dari negara yang dilawati.
Dalam lawatan rasmi PM Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini katanya matlamat tersebut dapat dicapai berdasarkan pertemuan yang berlangsung ketika itu.
“Perkara kedua yang diinginkan oleh negara dan rakyat jika pemimpin mengadakan lawatan di luar negara ialah berjaya membina hubungan baik dengan negara yang dilawati.
“Terbukti Anwar menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan rombongannya di Mekah,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.
Tambahnya, pelbagai isu dibincangkan PM termasuk mengenai kemelut di Palestin, situasi di Afghanistan, isu Islamophobia dan proses rundingan damai di selatan Thai serta Filipina.
Dalam pada itu, Sani mempersoalkan dakwaan yang dikemukan oleh ahli Parlimen pembangkang sebagai gagal kerana tidak dapat bertemu pemimpin utama negara iaitu Putera Mohamed Salman.
“Justeru apa yang rakyat dan negara dapat kalau perdana menteri dibawa masuk Kaabah seperti dikehendaki oleh Wan Fayhsal?,” soalnya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan impak lawatan PM Anwr e Arab Saudi kerana tiada laporan menunjukkan PM bertemu pemimpin utama megara Arab Saudi.
Ahli Parlimen Machang itu turut membuat perbandingan layanan yang diberikan kerajaan Arab Saudi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi perdana menteri dijemput memasuki Kaabah seperti layanan biasa yang diberikan kepada Ketua Kerajaan dalam lawatan rasmi ke Kota Suci itu. – EDISI9