PERDANA Menteri mahu martabat Kementerian Kewangan diangkat dan digeruni kerana prinsip tatakelola yang tegas tanpa mengizinkan sebarang penipuan atau memunggah kekayaan daripadanya.
Mengambil contoh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang ditakuti pembayar cukai, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan juga perlu digeruni kerana ketegasan prinsipnya.
“Sebab itu saya mahu Kementerian Kewangan ini diangkat martabatnya. Kalau pun seperti mana LHDN digeruni orang kerana kena bayar cukai tetapi Kementerian Kewangan itu digeruni kerana prinsip tata kelolanya yang tegas.
“Tidak mengizinkan sebarang usaha untuk memunggah kekayaan dengan cara menipu atau mengambil kesempatan daripada kontrak kerana ini banyak berlaku sebelum ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Dalam pada itu, Perdana Menter berkata, beliau percaya kementerian itu bakal muncul sebagai kementerian yang gagah dari segi tata kelola, kepintaran dan kesungguhan.
“Saya punya pengalaman lapan tahun (di Kementerian Kewangan), satu pengalaman yang indah dan sangat bangga dengan sikap, disiplin dan budaya ketika itu. Saya berharap Kementerian Kewangan dan keluarganya muncul sebagai kementerian yang gagah dari segi tatakelola, kepintaran, kesungguhan.
“Saya yakin dalam masa beberapa bulan ini, kita beri mesej jelas bukan omong kosong, kita tekad bangkit membangun dan menyelamatkan negara kita menjadi satu negara yang hebat di rantau ini dan di dunia,” ujarnya. – Edisi 9