31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Manifesto PH sekadar retorik, banyak janji tidak ditunai

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin mendakwa manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) adalah retorik semata-mata memandangkan banyak janji yang ditawar langsung tidak disentuh dalam Belanjawan 2023.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, antara contoh ialah Dana Peruntukan Kawasan sama rata kepada wakil rakyat serta komitmen mereka untuk menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan.

“Kedua, komitmen Kerajaan untuk menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau.

“Ketiganya, janji-janji dalam bidang pendidikan seperti Program Pemansuhan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40, memperkenalkan Biasiswa B40 dan menambah peruntukan program sarapan percuma, yang tidak disentuh dalam ucapan pembentangan.

“Beranikah Tambun mengakui janji-janji manifesto PH sekadar retorik politik?

“Bagaimana pula dengan janji-janji manifesto parti-parti lain dalam kerajaan campuran?

“Ini termasuk janji Barisan Nasional (BN) untuk memperkenalkan Skim Bantuan Pendapatan Asas di mana kerajaan akan mengkreditkan top up secara automatik ke dalam akaun semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM2,208 sebulan,” katanya dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mendakwa ucapan Tambun juga nampaknya tidak komprehensif serta
tidak menyentuh masalah sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

“Yang digemari Tambun hanyalah bermadah. Rakyat tidak berminat untuk
mendengar madah dan istilah yang digunakan oleh Tambun, tetapi lebih
risau tentang keperluan asas dan jaminan masa depan ekonomi dan
kebajikan mereka.

“Bagaimana rakyat hendak berdepan dengan situasi perbelanjaan
berganda menjelang pembukaan semula sekolah, ketibaan bulan puasa
dan persediaan menghadapi Aidilfitri yang semakin hampir?

“Semua ini terpaksa dilalui rakyat dalam keadaan beban kos sara hidup yang terus meningkat dan kadar inflasi yang tinggi.

“Kita tidak mendengar apakah penyelesaian sebenar kepada masalah kos sara hidup rakyat daripada pembentangan belanjawan ini,”ujar beliau. Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan