27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Masih tiada mekanisme kukuh laksana subsidi bersasar

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat tidak mempunyai mekanisme yang kukuh bagi pelaksanaan subsidi secara bersasar.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Anwar selaku Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2023 menyebut tentang iltizam kerajaan untuk mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar.

“Bagaimanapun saya melihat masih tiada mekanisme yang kukuh dalam aspek pelaksanaannya. Kerajaan hari ini tidak membuat saringan had subsidi mengikut kategori pendapatan T20, M40 dan B40 seperti mana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam ucapan Belanjawan didapati jumlah subsidi
dikurangkan daripada RM80 bilion kepada RM64 bilion pada tahun 2023.

“Persoalan saya, adakah kerajaan telah pun menilai dan mengenal pasti
kesan terhadap pengurangan ini?

“Hal ini kerana pengurangan jumlah subsidi boleh menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang mendadak pada tahun ini. Rata-rata rakyat yang tidak berkemampuan masih sengsara untuk meletakkan makanan di atas meja.

“meskipun terdapat momentum positif dalam proses pemulihan ekonomi, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif supaya bantuan dapat disalurkan segera secara efektif kepada golongan yang memerlukan.

“Subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat ternyata dapat meringankan beban mereka, tetapi ia seharusnya dilakukan secara bersasar,”katanya.

Advertisements

Ujar beliau, subsidi merupakan bantuan kewangan dan bukannya satu bentuk
insentif kerajaan.

“Kita mahu supaya subsidi kerajaan memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan, sementara golongan yang berkemampuan pula dapat bersama-sama menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan ekonomi negara.

“Oleh itu, kadar produktiviti memainkan peranan penting dalam penentuan pengeluaran subsidi untuk mengelakkan sebarang ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan Kerajaan.

“Sebagai contoh, semua kos bahan input dalam rantaian pengeluaran perlulah berdasarkan peningkatan kadar produktiviti. Selain itu, Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme bagi memastikan peningkatan daya pengeluaran di negara ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, bukan itu sahaja, klasifikasi subsidi haruslah disemak semula secara teliti untuk mengurangkan bebanan fiskal negara.

“Misalnya, subsidi terhadap bahan input seperti baja bolehlah dikekalkan, namun subsidi menyeluruh terhadap output seperti bahan api haruslah
diselaraskan dengan harga semasa global.

“Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, ia mestilah mengikut formula produktiviti bagi setiap kos bahan input kepada output,”katanya.

Jelas beliau, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan perlu
menjalankan pemantauan dan intervensi untuk menentukan keberhasilan
(outcome) terhadap langkah ini iaitu pengurangan kadar kemiskinan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan