31.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 26, 2023

Sekat media, PH-BN makin terdesak

Mesti Baca

LANGKAH kerajaan menyekat media tertentu sejak kebelakangan ini dilihat semakin membimbangkan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau melihat kerajaan PH-BN semakin terdesak dan bimbang dengan gelombang penerimaan rakyat terhadap PN.

“Bermula dengan laman sesawang MalaysiaNow, UtusanTV.com dan terbaharu ke atas TV Pertiwi.

“Saya melihat sekatan kepada akses media ini adalah tindakan yang terdesak dan bercanggah dengan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang selalu membantah corak pentadbiran kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, Anwar yang juga pengerusi PH perlu menunaikan ikrar mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media seperti mana dijanjikan dalam manifesto gabungan itu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menyokong desakan wartawan kanan yang mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak menjadi “Big Brother” (Abang Besar) dengan menyekat kandungan dalam talian sewenang-wenangnya.

“Sudah sampai masanya rakyat dicelikkan dan difahamkan tentang sesuatu perkara dengan maklumat benar.

“Kerajaan harus memberi rakyat peluang mempertimbangkan pilihan mereka hasil daripada kebebasan bermaklumat,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, media melaporkan portal berita MalaysiaNow tidak boleh diakses oleh sesetengah pengguna dan berkemungkinan disekat oleh penyedia perkhidmatan internet (ISP).

Bagi pengguna yang terjejas, percubaan untuk mengakses laman web itu tidak akan menghasilkan sebarang respons.

Portal itu bagaimanapun dapat diakses semula sehari kemudian selepas berita mengenai sekatan itu dilaporkan.

Kemudian, pada 7 Ogos kerajaan dilaporkan menyekat akses ke laman web UtusanTV.com kepada sesetengah pengguna internet di Malaysia.

Percubaan untuk mengakses laman web itu tertera notis menyatakan bahawa laman sesawang berkenaan tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara.

Pada 18 Ogos lalu, laman web TV pertiwi pula tidak dapat diakses selepas akaun Tik Toknya disekat.

Ketua pegawai operasinya Mohd Firdaus Salleh Hudin berkata semakan menerusi hasil ping ke alamat tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat sekatan DNS dengan data memaparkan IP SKMM, iaitu 175.139.142.25.

SKMM dalam kenyataannya mengatakan mereka menjalankan kewajipan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) bagi menghalang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan, terutama berkaitan maklumat salah atau tidak tepat.

Minggu lalu, TVAlhijrah pula disekat kerana mengulang siar rancangan membabitkan bekas menteri daripada PAS, Idris Ahmad.

Saluran televisyen tempatan di bawah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) itu, menyiarkan tayangan semula “Hijrahkan Laguku”, pertandingan nyanyian Islamik yang pertama kali disiarkan pada Januari 2022.

Program itu menampilkan Idris yang pada masa itu adalah menteri hal ehwal agama Islam di Jabatan Perdana Menteri.

Berikutan daripada itu, sekumpulan tokoh dan wartawan kanan membantah tindakan SKMM yang didakwa bertindak sebagai ‘abang besar’.

Kumpulan itu terdiri daripada bekas pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaaffar; tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin; pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacob; bekas Pengurus Besar Bernama, Datuk Seri Azman Ujang; Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya; bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong dan Datuk Zakaria Wahab serta bekas pengarang yang kini penganalisis politik, Dr G Manimaran.

Dalam kenyataan bersama, mereka menyuarakan kebimbangan bahawa kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.

SKMM dalam reaksinya sekali lagi menjelaskan badan itu bertindak berdasarkan AKM 1998 bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara. -Edisi 9

Terkini

Cadangan pecah monopoli BERNAS perlu perbincangan

SEBARANG usaha untuk memecahkan monopoli beras perlu dibincangkan dengan Kementerian Kewangan, Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ini kerana, kata...

Lagi Artikel Berkaitan