29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Malaysia teliti langkah tentang tuntutan kumpulan Sulu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA sedang meneliti semua langkah sedia ada untuk menentang tuntutan kumpulan Sulu dalam usaha memelihara kedaulatan negara.

Sekretariat Khas Sulu menerusi kenyataan berkata, semakan lanjut juga sedang dibuat oleh kerajaan untuk menentukan sekiranya mana-mana daripada lapan orang penuntut ini mempunyai pertalian (affiliation), hubungan kekeluargaan atau waris kepada kumpulan pengganas Royal Sulu Forces (RSF) yang telah dihukum oleh mahkamah dalam kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

“RSF ini telahpun diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Malaysia sejak April 2022,” katanya.

Kata sekretariat, tindakan undang-undang yang telah diambil oleh penuntut-penuntut sehingga kini, terutamanya timbang tara komersial yang telah dijalankan, adalah tidak wajar dari segi perundangan malah telah mencabar kedaulatan negara secara langsung.

“Sebarang tindakan yang telah diambil oleh penuntut ini melalui timbang tara komersial pada masa kini adalah bersifat mala fide, memandangkan pihak Sulu pada tahun 1939 pernah menghadap ke Mahkamah Tinggi Borneo Utara untuk pertikaian yang terbangkit pada masa itu.

Advertisements

Menurut kenyataan itu, Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa hak dan tuntutan penuntut ini adalah tidak sah, telah terbatal dan ditamatkan melalui pelaksanaan hak penentuan nasib sendiri (self-determination) oleh rakyat Sabah melalui perundingan Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 serta pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

“Selain itu, Perjanjian 1878 yang telah dijadikan asas untuk timbang tara yang dijalankan di Sepanyol dan Perancis tidak mempunyai sebarang klausa timbang tara dan bukan sebuah kontrak komersil.

“Pertikaian yang terbangkit di sini melibatkan kedaulatan negara dan Malaysia tidak pernah pada mana-mana ketika mengetepikan kekebalan kedaulatannya; dan penimbang tara tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibawa oleh penuntut.

Sehubungan dengan itu, sekretariat berkata, perkara ini adalah selaras dengan Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah bagi pihak Kerajaan Malaysia pada 14 Januari 2020.

Ujarnya lagi, Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan Negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan