30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Liga Super: JDT semakin sukar digugat

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SIAPA lagi yang mampu menyekat kemaraan Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada memburu kejuaraan Liga Super kali ke-10? Itu persoalan yang perlu dijawab pesaing skuad Harimau Selatan berkenaan.

Terengganu FC, KL City FC mahupun gergasi merah kuning, Selangor gagal menewaskan JDT dan kini pencabar terdekat, Sabah FC pula tersungkur di Stadium Sultan Ibrahim.

JDT yang dibimbing Esteban Solari semakin sukar digugat apabila menewaskan Sabah FC 4-0 malam tadi.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu bertandang ke Iskandar Puteri dengan permulaan kempen Liga Super yang memberangsangkan, kekal dengan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan tetapi cerita malam tadi adalah sebaliknya.

Sabah FC gagal memberikan saingan dengan intensiti tinggi yang dipamerkan JDT dan akhirnya ketinggalan pada minit ke-20 menerusi jaringan Arif Aiman Mohd. Hanapi.

Pemain sayap licik itu berjaya memperdaya pertahanan Sabah FC, Irfan Zakaria sebelum melepaskan rembatan kencang yang tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Dan pada minit ke-39, Juan Muniz menambah gol kedua tuan rumah menerusi sepakan lencong cantik dari luar kawasan penalti melepasi kawalan Khairul Fahmi untuk meletakkan JDT selesa 2-0 ketika menuju ke bilik persalinan.

Separuh masa kedua menyaksikan JDT terus mendominasi perlawanan dan pada minit ke-81 giliran Syahmi Safari pula mencetak nama sebagai penjaring apabila menyudahkan hantaran Ariff Aiman dari sayap kanan menjadikan kedudukan 3-0.

JDT terus dahagakan jaringan dan pada minit ke-89 mereka mendapat gol keempat hasil jaringan Fernando Forestieri.

Kemenangan ini meletakkan JDT selesa di puncak liga dengan rekod bersih menang dalam kesemua enam perlawanan. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan