PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan ke Arab Saudi selama tiga hari bersama deligasi amat positif sekali gus mengeratkan lagi hubungan yang terjalin kedua-dua negara.
Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata, kerajaan Arab Saudi juga memohon agar beliau melanjutkan lawatan bagi membolehkan pertemuan dengan beberapa pemimpin lain.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, namun atas kekangan waktu dan jadual mendatang yang agak padat saya harus pulang ke ibu negara.
“Kendatipun begitu, lawatan saya ke Arab Saudi ini amat positif dengan beberapa perbincangan dibuat bersama komuniti islam dan perniagaan yang membolehkan hubungan kedua-dua negara terus berkembang,” katanya hari ini.
Lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi diiringi isteri, Datuk Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke luar ASEAN sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November lalu.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau merancang untuk mengadakan lawatan ke negara Timur Tengah itu dalam masa akan datang.
“Insya Allah saya akan kembali ke Arab Saudi bagi meneruskan hubungan baik yang telah terjalin ini,” ujarnya. – Edisi 9

