28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Khidmat Razarudin disambung dua tahun lagi

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa perkhidmatan Tan Sri Razarudin Husain sebagai Timbalan Ketua Polis Negara akan diteruskan secara kontrak bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa hari ini hingga 15 Mac 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri dan di atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Menurutnya, penyambungan perkhidmatan secara kontrak ini adalah termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

“Razarudin, 60, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia serta pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

“Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah
sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Asisten Superintendan di Daerah Muar, Johor.

“Beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Saifuddin, pada tahun 1998 Razarudin kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor sebelum meneruskan khidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Kluang pada tahun 2000 sebelum menyambung pelajaran di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras.

“Kemudian beliau ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Deputi Superintendan dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat selama tiga tahun.

“Beliau kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden kemudian menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan dinaikkan pangkat ke Asisten Komisioner lalu ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, selepas dinaikkan pangkat kepada Senior Asisten Komisioner, Razarudin kemudiannya menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 Jenayah Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

“Beliau dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.

“Pada September 2020, beliau telah menjawat jawatan sebagai Pengarah JSJN Bukit Aman dan
kemudiannya pada Disember 2021, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan