29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kes SRC: Najib gagal semak keputusan, kekal dipenjara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dibenarkan untuk menyemak semula keputusan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

Ini sekaligus membawa maksud bekas Ahli Parlimen Pekan itu kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Najib sebelum ini dilaporkan sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022.

Prosiding yang masih berlangsung itu pagi ini didengar oleh lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Keputusan itu dibuat dengan majoriti 4-1 iaitu Vernon Ong, Rhodzariah, Nordin dan Abu Bakar menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit.

Sementara Abdul Rahman menentang keputusan tersebut kerana berpandangan sebaliknya.

Najib pada 6 September tahun lalu, memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Menerusi notis usul memfailkan notis usul itu melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, Najib membuat beberapa permohonan iaitu pertama, memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dia dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Kedua, Najib memohon untuk membuat semakan terhadap keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos lalu yang tidak memberikan penangguhan prosiding susulan penarikan diri peguam belanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Seterusnya, beliau memohon rayuannya didengar korum Mahkamah Persekutuan lain, tidak kurang tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Advertisements

Pemimpin UMNO ini turut memohon untuk mengemukakan bukti tambahan membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dan pembatalan perbicaraan itu atau diisytiharkan tidak sah.

Dalam afidavit, beliau percaya dan dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Dalam prosiding ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berada di pihak pendakwaan manakala Najib selaku perayu diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan