KETUA Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil menafikan dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya beliau menjadi dalang penangkapan pemimpin parti lawan atas kes rasuah.
Malah menurut beliau, dakwaan Azmin itu adalah disebabkan amaran yang diberikannya berkenaan Kluster Mahkamah.
“Tadi Azmin kata pemimpin BN (Barisan Nasional) termasuk saya yang kononnya jadi dalang penangkapan pemimpin-pemimpin Bersatu atas kes rasuah. Ini kata Azmin sebab saya telah bagi warning (amaran) yang mereka (pemimpin-pemimpin Bersatu) akan jadi Kluster Mahkamah.
“Azmin, saya sudah cakap yang kamu dan kawan-kawan kamu akan jadi Kluster Mahkamah 2.0 sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi, cuba lihat video-video ucapan saya tahun lepas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Malah, Isham juga mendakwa amaran yang diberikannya sebelum PRU15 berkenaan tidak disedari susulan parti lawan sibuk dengan urusan lain.
Terdahulu, Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) mendakwa kepimpinan tertinggi kerajaan Pakatan Harapan (PH)-BN menggunakan institusi kerajaan untuk melakukan pendakwaan terpilih.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, ia kerana hanya pemimpin Bersatu yang menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan berhubung program Jana Wibawa.
-EDISI9