PENGOPERASIAN Hospital Cyberjaya akan dapat memanfaatkan kira-kira 282,000 penduduk di daerah Sepang Selangor dan sekitarnya termasuk di kawasan mukim Dengkil dan Labu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ia menjadi satu lagi tanda komitmen kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada setiap lapisan masyarakat khususnya di daerah Sepang, dan kawasan sekitarnya.
Menurutnya, projek pembinaan Hospital Cyberjaya, Selangor diumumkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2016.
“Setelah melalui proses perancangan dan pembangunan, akhirnya sesi penyerahan hospital berjaya diadakan antara pihak kontraktor dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan pada 30 Jun 2021.
“Hospital Cyberjaya telah memulakan operasi pada 11 November 2022 yang menempatkan sembilan tingkat serta memuatkan kapasiti 288 katil dan beroperasi sebagai hospital pakar major dengan perancangan untuk 14 displin kepakaran.
“Fasa pengoperasian awal telah memperlihatkan enam disiplin yang memulakan perkhidmatan iaitu Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik & Ginekologi, Perubatan Kecemasan dan Anastesiologi, di samping tiga perkhidmatan sokongan klinikal iaitu perkhidmatan Patologi, Radiologi serta Diet dan Sajian.
“Perkhidmatan lain yang bakal menyusul ialah Ortopedik, Oftalmologi, Otorinolaringologi, Psikiatri, Rehabilitasi dan Pergigian,”katanya ketika membacakan teks ucapan Menteri, Dr Zaliha Mustafa pada Majlis Perasmian Hospital Cyberjaya di sini, hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda dan Tuanku Permaisuri juga berkenaan mencemar duli bagi melawat Jabatan Radiologi, Jabatan Farmasi, pesakit luar dan wad pediatrik.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Hospital Cyberjaya ini hospital pakar major yang menyediakan perkhidmatan kepakaran yang disokong dengan peralatan dan teknologi yang canggih.
“Hospital ini dilengkapi dengan lapan dewan bedah, termasuk dua dewan bedah untuk operasi oftamologi dan ENT. Hospital ini juga mempunyai sepuluh bilik bersalin untuk keperluan penduduk setempat dan turut dilengkapi dengan satu unit mesin CT-Scan,”katanya.
Selain itu, katanya, Hospital Cyberjaya akan mempunyai perkhidmatan pergigian dengan kapasiti tujuh unit kerusi pergigian yang mana menyediakan Perkhidmatan Kepakaran Pergigian Bedah Mulut Maksilofasial dan Kepakaran Pergigian Pediatrik.
“Hospital Cyberjaya juga menyediakan perkhidmatan Audiologi bagi pesakit kanak-kanak dan dewasa dengan adanya dua bilik khas yang direka khusus, yang menawarkan perkhidmatan termasuklah ujian saringan pendengaran dan ujian diagnostik,”katanya.
Dari segi penjawatan pula, Lukanisman berkata, sebanyak 1,205 perjawatan daripada pelbagai gred dan skim telah diluluskan untuk pengoperasian hospital ini dan pengisian sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi penyampaian perkhidmatan yang efisyen kepada rakyat setempat. – Edisi 9

