PELAKON jelita, Diana Danielle dikhabarkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil pada awal bulan ini.
Permohonan cerai itu atas alasan tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.
Permohonan cerai tersebut telah disebut di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, pagi ini.
Bagaimanapun, Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari enggan melafazkan cerai tersebut.
Difahamkan pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan pasangan itu untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Permohonan itu akan ditetapkan semula untuk sebutan pada 28 Mac ini.
Dalam hantaran terbaharu, Diana memuat naik satu hantaran umum bagaikan menjelaskan perasaannya hari ini.
“No longer in her sad girl era…,” kongsinya.
Farid, 42, dan Diana, 32, berkahwin pada 2012 dan hasil perkongsian hidup selama sedekad mereka dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Muhammad, 9, dan Nur Aurora, 6.
Januari lalu, Diana memaklumkan kepada media tiada wanita yang ingin bercerai tanpa sebab.
“Kita tidak boleh bercakap banyak kerana masing-masing ada kekurangan dan kelebihan,” katanya ketika memberi respons berkaitan keputusan rakan baiknya, Puteri Sarah Liyana memfailkan perceraian ke atas Syamsul Yusof.
Menurut Diana, walaupun persahabatannya dengan Puteri Sarah sangat akrab, dia tetap tidak berpihak kepada mana-mana individu.
“Saya tidak mahu berpihak kepada sesiapa berhubung isu berkenaan, namun sebagai wanita semestinya kita memahami perkara yang dibangkitkan sebelum ini,” katanya seperti dilaporkan media ketika ditemui pada pra pelancaran dan sidang akhbar Absolut Bazzar x Festival Gaya Raya.
-EDISI9