32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

16 Senator angkat sumpah Ahli Dewan Negara

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

Enam belas Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim hari ini. 

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah, Abdul Nasir Idris; Setiausaha PAS Kedah, Musoddak Ahmad; Dr. A. Lingeshwaran, Amir Ghazali dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman. 

Pelantikan Abdul Nasir dan Musoddak merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkuat kuasa hari ini, sementara Lingeshwaran dan Amir Ghazali pilihan DUN Pulau Pinang berkuat kuasa pada 7 Mac lalu manakala Anifah mendapat lantikan Yang di-Pertuan Agong mewakili Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bermula hari ini. 

Antara Ahli Dewan Negara lain yang mendapat lantikan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini ialah Isaiah D Jacob mewakili Kuala Lumpur dan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Low Kian Chuan. 

Selain itu, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli, Datuk Sivaraj Chandran, Mohd. Hasbie Muda, Abun Sui Anyit, Noorita Sual dan Roderick Wong Siew Lead.

Sementara itu, Manolan Mohamad merupakan Ahli Dewan Negara lantikan semula oYang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini manakala Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail merupakan pilihan DUN Terengganu mewakili negeri itu bermula 15 Mac lepas. 

Kesemua mereka mengangkat sumpah sebagai senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.

Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan 16 Ahli Dewan Negara itu menyeru setiap Ahli Dewan Negara yang dilantik agar memainkan peranan dan menggembleng tenaga dalam menyemarakkan Rukun Negara selain patuh dengan Perlembagaan negara. 

“Mari kita bersama mengorak langkah dan mencari jalan serta menaut persahabatan dan keyakinan bahawa inilah Dewan tertinggi negara kita… kita jangan takut, khuatir dan berbelah bahagi untuk menegakkan kebenaran.

“…dan meneliti segala kuasa segala yang dicatat menerusi Dewan Rakyat ataupun menerusi dewan ini sendiri dengan itu kita akan terserlah sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu dan boleh kita banggakan untuk kita capai tahap lebih tinggi,” katanya. 

Sementara itu, Awang ketika ditemui selepas upacara angkat sumpah berkata, beliau akan berusaha untuk meningkatkan martabat bahasa dan budaya selain mengharapkan respons yang positif daripada wakil rakyat dan kerajaan mengenai perkara berkenaan. 

“Ini (pelantikan) adalah pengiktirafan kepada semua pejuang bahasa, pejuang pendidikan dan budaya saya cuma menyuarakan perjuangan kami bersama.

“Saya berharap suara saya ini akan mewakili rakan-rakan lain dan dapat diberi perhatian oleh pihak pemerintah dan semua pihak berkuasa agar soal bahasa dan budaya penting diberi perhatian supaya kita dapat membangunkan negara secara holistik, secara bersepadu seperti negara-negara maju yang lain,” katanya. 

Anifah, bekas Menteri Luar dalam satu kenyataan hari ini menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan kepercayaan mereka dalam mengesyorkan dan melantik beliau sebagai senator.

Beliau komited menegakkan prinsip demokrasi, tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang serta sedia menyumbang kepada perbincangan dan perbahasan bermakna yang akan membentuk masa depan Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya di persada global. – BERNAMA

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan