31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kod Kandungan 2022 pupuk literasi media generasi muda

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

KOD Kandungan 2022 yang diwujudkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi mengawal selia kandungan digital pada masa hadapan merupakan panduan terbaik untuk golongan muda mencipta kandungan media sosial dengan nilai asas integriti yang baik.

Pensyarah Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Aida Mokhtar berkata, Kod Kandungan itu mampu mendidik generasi muda dengan literasi media serta bertanggungjawab di atas setiap kandungan yang dihasilkan di media sosial.

“Generasi muda perlu tahu kesan pada setiap kandungan yang dicipta melalui laman media sosial masing-masing. Justeru, Kod Kandungan 2022 melatih golongan muda menjadi pencipta kandungan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam seminar yang bertajuk Revamping of the Content Code – Looking Back and Moving Forward CMCF di Putrajaya baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi panelis, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Nur Kareelawati Abdul Karim pula berkata, pelaksanaan Kod Kandungan 2022 perlu dilaksanakan hingga ke peringkat sekolah untuk dipupuk menghasilkan  kandungan yang berhemah serta berkesan.

“Kod Kandungan 2022 perlu diperluaskan hingga ke peringkat sekolah untuk mendidik pelajar sekolah bersifat matang menghasilkan kandungan di media sosial mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood memaklumkan, inisiatif yang dibawa oleh pihaknya menganjurkan seminar dan ceramah mengenai Kod Kandungan bersama pelbagai pihak yang terdiri daripada pemegang taruh dan pemain ternama industri media memberi ruang untuk merombak fungsinya dengan lebih luas seiring dengan peredaran semasa.

“Melalui maklum balas peserta di seminar, membantu CMCF untuk merombak Kod Kandungan agar dapat berfungsi dengan lebih baik. Antara cadangan yang dikemukakan peserta adalah melindungi golongan wanita dan orang kelainan upaya.

“Fungsi Kod Kandungan kini lebih meluas dengan wujudnya etika laporan berita oleh pengamal media mengenai kes bunuh diri serta larangan promosi kandungan yang menyentuh sensitiviti agama,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

Kod Kandungan yang diwujudkan CMCF merupakan inisiatif kawal selia kendiri pada setiap kandungan yang dihasilkan melalui medium di platform media sosial yang tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98).

AKM98 merujuk kepada kandungan yang mengandungi unsur ‘tidak senonoh, lucah, palsu, mengancam atau menyinggung perwatakan’, dan fungsi Kod Kandungan adalah memberikan pemahaman yang lebih baik tentang maksud unsur-unsur ini.

Contohnya, perkongsian berita yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika berkaitan bunuh diri akan dianggap sebagai ‘mengancam’ kerana ia menimbulkan risiko penularan bunuh diri di bawah Kod Kandungan 2022. – EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan