JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sepatutnya menangguhkan proses pemilihan UMNO sehingga satu keputusan dicapai bagi permohonan usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) berkenaan pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana perkara ini akan menjadi konflik sekiranya RoS mendapati usul yang diluluskan dalam PAU 2022 itu bertentangan dengan perlembagaan parti.
“Ini termasuk dua jawatan tertinggi parti itu yang perlu dipertandingkan dalam pemilihan parti,” ujar bekas Perdana Menteri itu.
“Kalau ini berlaku, ia sudah jadi akademik. Kalau ada yang sudah bertanding jawatan Naib Presiden sekarang ni mungkin nak bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden. Tapi dia dah hantar nama untuk Naib Presiden.
“Jadi, kalau tiba-tiba RoS kata (buat keputusan) boleh bertanding, akan jadi konflik. Saya percaya RoS ada kuasa untuk menangguhkan pertandingan sehingga RoS membuat keputusan,” katanya memetik laporan Astro AWANI.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Latihan Amal Bera Inter-Agensi dan Komuniti 2023 di Bera Waterfront, di Bera hari ini.
Katanya, perkara itu juga menjadi antara sebab beliau tidak mempertahan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini.
Jelasnya, perkara berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan parti.
“Kalau saya bertanding jawatan Naib Presiden bermakna saya setuju dan mengiktiraf jawatan itu untuk tidak dipertandingkan.
“Jadi, saya masih lagi konsisten dengan pendirian saya dan disebabkan itu saya tidak bertanding,” ulasnya lagi.
Beliau turut menyangkal dakwaan dikatakan merajuk dan jauh hati dengan parti dan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, perbezaan pandangan dalam berpolitik tidak menjejaskan hubungan baik dengan Ahmad Zahid sejak sekian lama.
“Bukan protes, bukan merajuk. Saya tak merajuk. Tapi saya kena konsisten dengan pendirian saya,” katanya.