YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah benar-benar raja berjiwa rakyat apabila kehadirannya sering dinanti serta disenangi ramai.
Bahkan, baginda juga tidak betah untuk berbual mesra dengan pelbagai latar belakang rakyat jelata, bahkan berkenaan mencemar duli bagi membantu individu memerlukan seperti mangsa banjir dan kemalangan.
Maka tidak hairanlah, Agong amat disayangi rakyat jelata.
Terbaharu, video memaparkan seorang lelaki yang berjaya mencuit hati baginda turut meraih pujian ramai di media sosial.
Video berdurasi satu minit 23 saat yang dimuat naik pengguna Tiktok bernama Wan Yoshiki berkenaan memaparkan baginda sedang beramah mesra sambil memberikan sumbangan kepada orang ramai.
Sultan Abdullah kemudiannya tertarik melihat seorang lelaki dengan rambut berwarna sebelum bergurau senda dengannya.
“Ini untuk awak. Color rambut balik,” titah baginda sambil menghulurkan sekeping sampul.
Baginda mungkin mengharapkan agar lelaki berkenaan kembali menukar rambutnya kepada warna hitam.
Lelaki itu kemudiannya tampil ke hadapan untuk merakam swafoto dengan baginda sebelum membuka topi rambut palsu berkenaan yang biasanya dipakai oleh peminat cosplay.
“Rambut betul ke ni? Topi! Saya kena tipu la. Bagi duit untuk potong rambut… Allahuakhbar. Cuba cabut tu,” baginda bertitah sambil meletakkan tangan di dahinya.
Seri Paduka Baginda kemudiannya menitahkan agar mereka mengambil gambar bersama buat kali kedua.
Orang ramai yang berada di kawasan itu turut kelihatan terhibur melihat aksi baginda yang terkena ‘prank’ secara tidak sengaja oleh lelaki berambut ala watak anime Naruto.
Video berkenaan difahamkan dirakam ketika program lawatan kerja Seri Paduka ke Pulau Tioman selama dua hari yang bermula semalam.
Dalam tempoh tiga jam dimuat naik, video berkenaan mendapat tanda suka sebanyak 4,818 dan dikongsikan lebih 500 kali.
-EDISI9