KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa juga perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru-hara kepada rakyat dan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tegas akan diambil kepada pihak-pihak yang sengaja mencetuskan sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.
Menurutnya, segala pendapat atau pandangan mestilah diuruskan dengan cermat dan disalurkan melalui ruang demokrasi yang ada, bukan melalui tindakan bersifat provokatif.
“Malaysia sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ia sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perarakan replika bersenjata dalam suatu himpunan anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, KDN memandang serius acara tersebut kerana mampu menimbulkan kegusaran awam terutama ketika suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN) dilihat semakin memuncak.
“Umum mengetahui negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (race, religion, royalty) yang belum reda sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan,” katanya.
Ujar Saifuddin lagi, apa juga tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ketenteraan amatlah tidak wajar dan akan mengundang keresahan awam.
“Insiden ini kemudian disiar dalam bentuk video clip dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan.
“Ini mengundang pertanyaan adakah perarakan ini bermaksud menyuntik semangat perang,” katanya.
Sebelum ini video serta gambar perarakan menggunakan replika pedang, lembing dan perisai yang dipercayai dianjurkan di sebuah kawasan resort di Setiu, Terengganu pada Jumaat lalu itu menjadi tular di media sosial.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata pihaknya akan menyiasat program perarakan membabitkan sebuah parti politik itu bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Menurutnya siasatan awal mendapati perarakan itu adalah antara acara yang dipertandingkan pada program berkenaan iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.
-EDISI9