29.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

PM adakan lawatan rasmi sulong ke Filipina esok

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Filipina selama dua hari bermula esok. 

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan pada 1 dan 2 Mac tersebut merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke republik itu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri.

Menurutnya, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry And Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta pegawai kerajaan daripada kementerian dan agensi berkaitan.

“Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr. Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala seperti kerjasama keselamatan, pertanian dan industri halal dan ekonomi digital.

“Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya hari ini.

Advertisements

Anwar dijadualkan menyampaikan syarahan umum bertajuk ’30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN’ di Universiti Filipina dan akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina.

Lawatan itu mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN.

Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk memperkasakan jaringan kerjasama dua hala, bertunjangkan kepentingan bersama, peningkatan kerjasama ekonomi dan politik, serta jalinan antara rakyat.

Pada tahun lalu, Filipina merupakan rakan dagangan dunia ke-15 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion, dengan peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan