KEGIGIHAN Datuk Lokman Noor Adam yang mempertahankan kepimpinan UMNO khususnya Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta kerajaan perpaduan berbaloi apabila pemecatan beliau sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti ditarik balik.
Lokman berkata, berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sejurus selepas keputusan pembatalan itu dibuat oleh MKT yang bermesyuarat malam tadi.
Beliau berkata, pembatalan itu juga membolehkannya layak bertanding dalam pemilihan parti yang akan berlangsung bulan depan.
“Alhamdulillah, baru terima panggilan daripada Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO yang memaklumkan bahawa MKT UMNO malam ini (malam tadi) telah membatalkan pemecatan saya dan kini saya kembali sebagai Ahli MKT UMNO,” katanya menerusi media sosial beliau.
Lokman sebelum ini hilang jawatan ahli MKT selepas dipecat daripada UMNO pada 7 Februari 2020.
Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyakinkan pemimpin parti itu agar bekerjasama dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun UMNO menerima semula penyertaan beliau dalam UMNO pada September 2021.
Dalam pada itu, mesyuarat MKT malam tadi turut melantik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Azizi sebagai ahli yang baharu. – Edisi 9

