PEMANAH cilik sukan memanah tradisional dari Kampung Darau, Manggatal, Sabah Adszraa Adhawiyah Mohd Aszrul mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika lawatan beliau ke negeri itu, awal minggu lalu.
Dalam lawatannya itu, Hannah meluahkan rasa terharu melihat kanak-kanak itu yang menunjukkan minat tinggi terhadap sukan memanah walaupun baru berusia lapan tahun.
Menerusi perkongsian pada akaun Facebook miliknya, Hannah menyifatkan Adszraa, sebagai seorang wira kecil dalam sukan memanah tradisional.
Katanya, jadual lawatannya ke Sabah terpaksa disusun semula bagi memenuhi permintaan kumpulan pemanah yang disertai Adszraa Adhawiyah agar beliau dapat melawat tempat latihan memanah di Kampung Darau.
“Bermula dari saat saya sampai, beliau berdiri dekat dengan saya dan sedaya upaya cuba untuk menerangkan mengenai sukan memanah tradisional. Untuk kanak-kanak yang berusia lapan tahun, beliau begitu berkeyakinan tinggi.
“Ketika saya sudah mula mahu beredar dan mahu mengucapkan selamat tinggal kepadanya, tiba-tiba beliau memeluk saya dengan kuat dan saya beritahu kepadanya yang saya mahu melihat beliau menjadi juara dunia suatu hari nanti.
“Jujurnya, ketika itu saya berasa terharu semasa saya berjalan ke kereta,” katanya.
Ketika lawatannya ke Sabah awal minggu ini, Hannah berkesempatan meninjau tapak latihan memanah tradisional di Kampung Darau selain melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan perkara yang berkaitan pembangunan sukan di negeri ini. – Edisi 9