24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Onn Hafiz sahkan tak bertanding jawatan di peringkat Pusat

Sebaliknya cicit kepada pengasas parti UMNO itu menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sahkan tidak bertanding sebarang jawatan UMNO di peringkat Pusat namun menawarkan diri bertanding di peringkat bahagian pada pemilihan parti kali ini.

Pengesahan berkenaan sekali gus melenyapkan khabar angin yang menjangkakan beliau akan merebut kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Sebaliknya Onn Hafiz mengumumkan menawarkan diri untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam.

“Kita sedia maklum bahawa sekarang adalah musim pemilihan UMNO. Saya telah berdoa meminta petunjuk, ilham dan hidayah daripada Allah SWT.

“Saya juga telah berusaha mendapatkan pandangan pelbagai pihak, termasuk ahli keluarga, sahabat, pemimpin dan jentera akar umbi terutama di Bahagian Simpang Renggam, mengenai jawatan yang sesuai untuk saya menawarkan diri pada pemilihan kali ini.

“Oleh itu, saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan pada peringkat Pusat tetapi dengan rasa penuh rendah diri, ingin menawarkan diri bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada pemilihan penggal ini,” katanya dalam Facebook hari ini.

Advertisements

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata, beliau akan memberi fokus kepada pentadbiran dan pembangunan di kawasan beliau dan seluruh Johor.

“Saya telah membuat keputusan untuk terus memfokus khidmat bakti kepada Johor. Insya-Allah, saya akan terus berusaha mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan Johor,” katanya.

“Saya merayu dan memohon sokongan dari perwakilan UMNO Simpang Renggam. Kepada Allah Saya Berserah,” katanya.

Kelmarin, pimpinan akar umbi UMNO Bahagian Simpang Renggam dilaporkan meminta Onn Hafiz bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda bagi mengembalikan maruah parti.

Apatah lagi beliau yang juga cicit kepada pengasas parti keramat orang Melayu itu bukan lagi nama asing kerana terbabit secara langsung dalam UMNO sejak 2013.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan