24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Komen perkauman: Pemain hoki digantung wakili negara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PEMAIN hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn digantung daripada menyertai mana-mana aksi antarabangsa, termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat antara Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), 7 Februari lalu.

Menurutnya, hasil daripada siasatan dan penjelasan yang membabitkan Hanis dan jurulatih pasukan kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, jawatankuasa siasatan MSN dan KHM merumuskan pemain berkenaan didapati bersalah atas ciapan dilakukannya itu.

“Hasil daripada sesi temubual dan selepas memperhalusi beberapa dapatan lain berhubung isu berkenaan, Jawatankuasa Siasatan merumuskan bahawa Hanis memuatnaik ciapan komen yang berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India.

“Sehubungan itu, jawatankuasa mendapati Hanis bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain,” katanya hari ini.

Tindakan tersebut dibuat selepas Hanis didapati bersalah kerana memuat naik ciapan di Twitter yang berbaur perkauman berhubung konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman pada 28 Januari lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain.

Advertisements

“Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh berkenaan.

“Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran ataupun ciapan di semua platform media sosial,” katanya.

Hanis sebelum ini mengakui memuat naik ciapan komen ‘bau best la kat dalam tu’ berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert yang dimuatnaik oleh Kosmo Online.

Ciapan itu dibuat menyusuli komen netizen lain pada muatnaik berkenaan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan