33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

‘Bercuti’ hingga kes selesai, amalan penjawat awam – Shahidan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim turut tidak terkecuali memberi pendapat pilihan buat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memohon Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan pasport antarabangsa miliknya secara kekal secepat mungkin.

Shahidan berkongsikan dua pilihan itu dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

“Pilihan pada Zahid… satu, bercuti sehingga kes mahkamah selesai. Dua, mahkamah tangguhkan kes Zahid selama lima tahun,” katanya.

Ujar Shahidan bagi pilihan pertama, tindakan itu merupakan satu amalan yang lazimnya dilaksanakan kepada pejawat awam yang mempunyai kes di mahkamah.

Manakala menurutnya, bagi pilihan kedua pula, keputusan tersebut akan membuat negara malu, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan terkesan dengan keadaan tersebut.

“Di mata dunia Malaysia malu. PM (Anwar) juga terkesan,” katanya.

26 Januari lalu, Zahid membuat permohonan berkenaan bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.

Menurut Ahmad Zahid, beliau membuat permohonan itu dengan niat baik (bona fide) yang hanya bertujuan memohon kebenaran bagi pelepasan pasport antarabangsa supaya dapat menjalankan tugas rasmi.

Pasport itu sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.

Dalam afidavit sokongan menerusi permohonannya, untuk mengetepikan syarat jaminan jaminan tambahan difailkan 20 Januari lalu, Ahmad Zahid berkata, beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada dokumen itu.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, beliau menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mewakilkan beliau (Anwar) dalam beberapa urusan pentadbiran negara.

-EDISI9

Terkini

Rancang pembangunan saksama di semua negeri – Sultan Ibrahim

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan yang saksama diberikan kepada semua bandar di...

Lagi Artikel Berkaitan