31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Zahid tidak mahu salahkan sesiapa termasuk ‘poster boy’

Susulan prestasi buruk Barisan Nasional dalam PRU15 yang menyaksikan parti itu kini hanya mempunyai 30 kerusi di Parlimen

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu menyalahkan sesiapa termasuk ‘poster boy’ berikutan prestasi buruk yang dialami parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru lalu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau boleh sahaja menyalahkan pihak lain seperti pemimpin UMNO yang memburukkan parti sendiri dalam berkempen.

Malahan katanya, ada juga yang melabelkan UMNO parti korup, sudah rosak dan pelbagai nista dilemparkan sehinggakan ucapannya dijadikan modal pembangkang menyerang kembali UMNO.

“Kekalahan ini mengundang pelbagai desakan dan kecaman. Namun, tindakan tuding-menuding mencari kesalahan berisiko menjejaskan usaha parti berkenaan untuk melangkah ke depan jika polemik sedemikian dibiar berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru, Pengerusi BN itu menggesa semua ahli dan pimpinan UMNO agar menghentikan polemik mengenai punca prestasi buruk parti pada PRU15 lalu.

Tegas beliau, apa yang menjadi keutamaan parti yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan adalah untuk bergerak ke hadapan dan mendepani cabaran baharu, susulan perubahan landskap politik di Malaysia ketika ini.

“Kita boleh sahaja menggariskan pelbagai alasan dan punca dengan menuding jari ke sana sini, tetapi janganlah kita menjadi telunjuk lurus kelingking berkait,” katanya.

Zahid berkata, ahli-ahli UMNO diminta tidak sesekali menafikan usaha yang dilakukan parti dalam menghadapi PRU15 lalu, yang telah lakukan sebaik daya.

Untuk rekod, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah diumum sebagai ‘poster boy’ sekiranya BN menguasai Putrajaya.

Ahli Parlimen Bera itu menjadi Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan itu ekoran kehilangan majoriti di Parlimen selepas ahli-ahli Parlimen BN menarik sokongan pada Ogos 2021.

Beliau kemudian membubarkan Parlimen pada 10 Oktober 2022 selepas mendapat desakan daripada UMNO sendiri. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan