29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Ku Li fail petisyen cabar keputusan PRU15

Petisyen difailkan untuk mencabar keputusan PRU-15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang didakwa berlaku politik wang.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan, bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen itu.

Petisyen berkenaan difailkan pada 3 Januari lalu oleh wakil ahli politik veteran itu, Mohd Azmi Mahmood.

Dalam petisyen itu, Mohd Azmi menerusi barisan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman menamakan tiga responden.

Mereka ialah Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab Fatah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Mohamed Baharudeen, petisyen berkenaan meminta supaya keputusan PRU-15 bagi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi Parlimen itu.

Katanya, petisyen berkenaan difailkan bagi mencabar keputusan PRU-15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang didakwa berlaku politik wang.

Mohd Azizi Abu Naim (tengah) meraikan kemenangan selepas menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang dalam PRU-15 baru lalu.

“Selain itu, anak guam kami mendakwa, peti undi dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu di beberapa saluran tidak dikira dan kertas undi tidak dikembalikan.

“Pengurusan kes dibaca buat kali pertama di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu Tuan Nik Habri Muhamad di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam,” katanya seperti dilapor HMetro Online, hari ini.

Mohamed Baharudeen berkata, mahkamah mengarahkan untuk menyempurnakan surat cara berkaitan serahan terlebih dulu dan hadir semula untuk pengurusan kes pada 25 Januari ini

Kes dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar.

Pada PRU-15 lalu, Tengku Razaleigh atau Ku Li gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12, apabila tewas kepada Mohd Azizi yang mendapat majoriti tipis 163 undi.

Mohd Azizi memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh pula mendapat 21,663 undi.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan