SEJUMLAH RM5.2 juta diperuntukan kerajaan negeri tahun ini untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai bagi memberi keselesaan kepada 10,967 penduduk.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada jumlah itu, RM2 juta akan digunakan untuk menaik taraf dan pembaikan menyelenggara loji rawatan kumbahan manakala RM3.2 juta lagi bagi mengecat blok D, E, F dan G
“Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai yang baru dan sedang dinaiktaraf.
“Bagi terus menjamin keselesaan 10,967 orang penduduk di PPR ini, sebanyak RM14.089 juta diperuntukkan tahun lepas untuk proses menaik taraf.
“Sejumlah RM10.3 juta bagi mengganti 21 unit lif, RM3.2 juta bagi kerja mengecat blok A,B,C
dan RM1.389 juta bagi penggantian semula paip
“Untuk 2023, sejumlah RM5.2 juta pula diperuntukkan menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) bagi kerja-kerja baik pulih di PPR Kempas Permai,” katanya di sini.
Beliau berkata, sejumlah RM2 juta untuk penaiktarafan dan pembaikan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan yang dijangka bermula Mac 2023 selama 16 minggu.
“Sementara RM3.2 juta bagi mengecat blok D, E, F dan G yang dijangka bermula April selama 20 minggu.
“Semua ini tidak mungkin berjaya tanpa komitmen daripada penduduk dan komuniti di PPR ini.
“Saya memohon agar kita sama-sama bermuafakat dan sepakat menjaga kebersihan dan keceriaan PPR ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang melakukan lawatan di PPR berkenaan berpeluang mendengar taklimat berkenaan Pusat Belia Etiqa Cares yang merupakan inisiatif syarikat insurans bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Adab Youth Garage dalam membantu murid-murid di PPR berkenaan belajar di luar waktu persekolahan.
Di kesempatan yang ada, saya turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf di bawah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) termasuk penyewa di PPR ini, penerima bantuan dialisis serta penerima bantuan sara hidup.
“Terima kasih kepada warga PPR Kempas Permai yang sudi menerima kehadiran saya.
“Semoga kerja-kerja menaik taraf bangunan serta inisiatif pendidikan ini akan terus memberi kesejahteraan dan kepada penduduk setempat untuk masa akan datang,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Noorazam Dato Osman; ADUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, Datin Paduka Dr Suhailizan Suliman. – Edisi 9