34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ramesh Rao masih perjuang nasib rakyat di saat akhir usia

Mesti Baca

PEGAWAI Khas Hal Ehwal Kaum India di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Ramesh Rao masih sempat memikirkan nasib rakyat di saat akhir usianya.

Petang semalam, mendiang sempat mengeluarkan satu kenyataan media berhubung sebahagian besar rakyat Malaysia yang masih tidak tahu untuk mendapatkan bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan.

Dalam kenyataan tersebut, mendiang menyatakan bahawa kira-kira 60 peratus rakyat Malaysia didapati tidak peka dan tidak tahu tentang bantuan dan kemudahan yang boleh dipohon daripada kementerian.

Mendiang berkata, ini menyebabkan rakyat tidak mengetahui fungsi sesebuah kementerian dalam pentadbiran negara.

“Saya akan menyarankan kementerian sedia ada mewujudkan satu cara untuk menyampaikan maklumat tentang bantuan kebajikan. Ia bagi memastikan rakyat mudah dan tidak tercicir daripada mendapat bantuan kerajaan.

“Saya cadangkan setiap tiga atau enam bulan, kementerian boleh mengeluarkan buletin atau makluman untuk diedarkan kepada rakyat di seluruh negara.

“Rakyat perlu diberi kefahaman wujudnya banyak bantuan dan kemudahan. Sebenarnya ada pelbagai jenis bantuan boleh dimanfaatkan rakyat tetapi ia tidak dipohon atau digunakan,” katanya, petang semalam.

Ramesh Rao, 52, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur awal pagi ini dipercayai akibat serangan jantung.

Mendiang yang terkenal sebagai aktivis masyarakat pernah bersama DAP sebelum menyertai Barisan Nasional ketika di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam kenyataan itu, mendiang berharap semua kemudahan mahupun bantuan yang disediakan kerajaan perlu dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat, bukan untuk golongan tentu sahaja.

Jelasnya, kefahaman tepat dan jelas boleh mengelakkan tercetus persepsi negatif kononnya kerajaan tidak membantu rakyat sedangkan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan telah tersedia.

Pada 24 Disember lalu, Zahid mengumumkan pelantikan Ramesh Rao sebagai pegawai khasnya bagi menjaga hel ehwal kaum India.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Ramesh diberi tanggungjawab untuk menjaga kebajikan masyarakat kaum India di seluruh negara ini tanpa mengira fahaman politik masing-masing. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan