31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Perodua manfaat pertumbuhan, kembang kapasiti tahun ini

Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu di dalam produk dan perkhidmatannya serta melabur di dalam inovasi teknologi bagi operasinya.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERODUA dan rakan niaganya akan memberi tumpuan untuk memanfaatkan pertumbuhan yang dicapai dan mengembangkan lagi kapasiti pada tahun ini.

Dalam merealisasikannya, Perodua berharap harga bahan mentah dan harga bahan api kekal terurus.

Itu menjadi harapan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad yang juga turut berharap pertukaran mata wang asing serta kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri.

Beliau berkata, buat masa ini, sekiranya faktor-faktor ini kekal pada paras yang wajar, Perodua akan mengekalkan harga kenderaannya.

“Keutamaan kami buat masa ini adalah untuk menghantar kenderaan Perodua kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, industri automotif Malaysia mampu memaksimumkan potensinya melalui tanggungjawab bersama untuk memenuhi jangkaan pelanggan dalam pelbagai aspek tahun lepas, menghasilkan rekod prestasi terbaik buat Perodua setakat ini.

“Pencapaian ini juga merupakan komitmen bersama ekosistem tempatan kepada para pelanggan dan peranan kami bersama untuk memajukan industri ini,”katanya.

Pengeluaran meningkat 49.5 peratus kepada 289,054 unit pada 2022 berbanding 193,400 unit pada 2021; manakala bagi jualan ianya menyaksikan peningkatan sebanyak 48.2 peratus kepada 282,019 unit berbanding 190,291 kenderaan yang didaftarkan pada 2021.

Selepas jualan pula menyaksikan jumlah pengambilan meningkat kepada 2.6 juta, iaitu kenaikan sebanyak 30 peratus daripada 2.0 juta pengambilan servis pada 2021.

“Industri banyak belajar ketika melalui fasa pandemik dan kami menyedari bahawa kami perlu mengambil langkah yang proaktif untuk pulih pada 2021 – yang mana menyaksikan pelbagai cabaran dan daripada itu kami memaksimumkan potensi ekosistem pada 2022,”kata Zainal.

Beliau berkata, tahun 2022 juga mempunyai cabarannya termasuk pemulihan ekosistem akibat daripada banjir besar, kekurangan pekerja akibat lonjakan kes COVID-19 di peringkat pembekal, kekurangan bekalan cip semikonduktor dan peningkatan mendadak harga bahan mentah.

“Dengan perancangan yang betul, Perodua dan rakan niaganya bukan sahaja dapat mengatasi cabaran ini tetapi juga memperoleh pertumbuhan yang sangat diperlukan untuk industri.

“Matlamat kami adalah untuk memenuhi jangkaan para pelanggan terhadap kami– bukan sahaja dari segi penyampaian produk dan perkhidmatan tetapi juga dalam memperkenalkan tawaran nilai yang lebih hebat kepada semua rakyat Malaysia,”katanya.

Hasilnya, menurut beliau, tahun 2022 terbukti tahun terbaik setakat ini buat Perodua secara khususnya dan industri automotif Malaysia amnya.

“Ini boleh dilihat pada prestasi pengeluaran dan jualan Disember 2022 kami, yang mana secara puratanya 1,000 kenderaan dikeluarkan dan didaftarkan setiap hari,”kata beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu di dalam produk dan perkhidmatannya pada masa hadapan serta melabur di dalam inovasi teknologi bagi operasinya.

“Selain itu, kami juga akan menggalakkan rakan niaga kami, iaitu para pembekal dan pengedar untuk terus melabur dalam teknologi baharu supaya mereka lebih berdaya saing dan produktif.

“Kami akan mengumumkan senarai penuh sasaran kami pada bulan Januari dan saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sokongan berterusan mereka, rakan kongsi kami atas dedikasi mereka, kakitangan Perodua atas pengorbanan dan kerja keras mereka serta para pelanggan kami yang dihargai atas sokongan setia mereka,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan